Sunday 14 October 2012


Tun Dr Mahathir Muhamad
The Perdana Foundation
4372 – Precint 5 Putrajaya
Ke hadapan kekanda-ku yang amat dimuliakan. Segala limpah kurnia sekalian alam ini hendaknya milik kekanda-ku seorang. Segala kuasa dalam alam ini terpusatlah hendaknya kepada kekanda-ku. Segala gegak gempita seru sekalian alam ini, hanyalah untuk kekanda-ku seorang. Segala cerakawala di alam samesta ini, hendaknya akan tunduk kepada kekanda-ku. Amin.

Adalah adinda harapkan surat ini akan menemui kekanda-ku sekeluarga dalam keadaan sihat walafiat. Adinda anak-beranak juga sihat walafiat. Inginlah adinda memaklumkan bahawa keluarga adinda akan mengadakan kenduri Bar Mitzvah untuk cucuanda adinda yang kelapan. Amatlah berbesar hati kami sekeluarga jika kekanda dan isteri kekanda dapat bersama menyerikan kenduri yang tidak seberapa ini.

Janganlah kekanda-ku risau tentang cuaca di New York. Pada tahun ini, cuaca tidaklah seganas seperti ketika kekanda melawat George Bush dahulu. Janganlah risau tentang rambut Cik Siti Isteri kesayangan kekanda. Adinda berani memberi jaminan yang rambut Cik Siti tidak akan ditiup angin seperti yang berlaku dahulu. Ini janji seorang Yahudi.

Kekanda-ku yang adinda sayangi,
Dalam surat ini, adinda ingin menjelaskan beberapa perkara yang dapat membantu kepentingan kita bersama. Adinda faham kenapa kekanda selalu mengutuk Yahudi. Adinda teringat lagi bagaimana kekanda menibai Yahudi di Persidangan Negara Islam dimana kekanda sendiri yang menjadi tuan rumah. Adinda faham ketika itu kekanda sedang meminta duit dari Saudi dan Kuwait.

Dalam hal kelentong mengelentong ini, adinda cukup hormat kepada kekanda. Tabik spring untuk kekanda-ku tercinta. Kekanda-ku cukup pandai memilih masa, tempat dan pendengar untuk berkelentong. Malah pada hemat adinda, dalam politik dunia hari ini tidak ada sesiapa pemimpin dunia yang memiliki keupayaan kelentong-mengelentong.

Adinda diberitahu mengikut sejarah, kaki kelentong keturunan jenis kekanda ini telah wujud lama. Dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi telah ada… oppsss, kaki kelentong yang melakukan porak peranda di Istana Sultan Melaka.

Jelaslah, kekanda memiliki keupayaan mengelentong yang turun- temurun. Agaknya mengelentong ini telah lama tersemai dalam DNA kekanda-ku. Sebagai Yahudi yang arif dalam hal kelentong-mengelentong, adinda akui, kekanda-ku tiada tolok bandingan dengan Yahudi-Yahudi di serata dunia.

Kekanda yang amat dimuliakan,
Ingin adinda memberitahu, serangan kekanda terhadap Yahudi cukup menyerlah. Adinda diberitahu oleh ejen-ejen NGO yang adinda pasang dalam negara kekanda bagaimana orang Melayu berjaya dikelentong sehinggakan mereka terlupa, 24 dari 25 nabi yang wajib mereka ketahui adalah dari kaum Yahudi. Syabas kekanda-ku!

Hanya satu pekara yang merisaukan hati adinda apabila kekanda-ku menibai Yahudi. Perkara ini ialah tentang Palestin. Adinda dari awal lagi memang tidak menyokong apa yang dipanggil negara Israel. Biarlah adinda terangkan, walaupun adinda seorang Yahudi tetapi adinda ialah warga Amerika. Adinda tidak pernah membantu Israel. Malah ketika George Bush ingin bertanding, adinda memberi 100 juta dolar kepada gerakan anti-parti George Bush.

Adinda amat berbangga untuk memberitahu kekanda-ku bahawa banyak hospital, NGO di Gaza dan di Tebing Barat yang mendapat bantuan dana Georgge Soros. Adinda lakukan ini dengan senyap-senyap kerana Yahudi yang baik ialah Yahudi yang senyap.

Dalam hal Yahudi dan Palestin, adinda faham latar belakang kenapa kekanda-ku semakin lantang menyerang George Soros. Adinda yakin bahawa kekanda sedar dan tahu bahawa ramai Yahudi seperti George Soros yang tidak menyokong Isreal. Mustahil kekanda tidak membaca risalah dan buku tentang Jews Against Zionism.

Tetapi adinda faham. Kekanda-ku buat hingar-bingar tentang George Soros dan Yahudi ini agar orang Melayu yang kekanda bangangkan itu akan terus bangang. Mereka tidak ternampak bahawa anak kekanda sendiri sudah berjaya menjadi pemilik kilang arak yang terbesar di Asia. Kekanda kutuk Yahudi untuk tutup cerita kilang arak. Syabas, kekanda-ku.

Kekanda-ku yang bijak berkelentong,
Ingin adinda terangkan bahawa adinda memberi duit kepada pelbagai NGO di Malaysia bukan satu yang rahsia. Satu dunia tahu George Soros memberi dana kepada pelbagai NGO di Asia, Afrika dan Latin Amerika.

Adinda membuat dasar agar dana George Soros diberi kepada semua NGO yang diyakini akan dapat membantu kewujudan demokrasi di dunia. Wakil adinda Puan Maureen di Hong Kong sering memberitahu adinda bahawa Open Society Initiatives (OSI) tidak pernah berlaku tidak adil dalam mengagih dana kepada NGO di Malaysia.

Kekanda-ku Mamak Mahathir,
Sila tanya sendiri kepada Datin Paduka Marina, apakah OSI tidak pernah memberi dana kepada Majlis Aids Malaysia? Berapa kali ganda dana telah OSI mencurah masuk kepada Majlis Aids berbanding kepada Suaram?

Dalam hal ini, adinda kelihatan tidak berapa telus dan jujur apabila membuat kenyataan bahawa hanya Suaram dan Malaysia Kini sahaja yang mendapat duit dari Soros. Nampaknya persoalan yang adinda timbulkan ini amat bodoh kerana kekanda memang suka mengelentong dan memiliki tabiat membuat bohong.

Adinda pernah diberitahu oleh Tun Musa Hitam dan Dr Zahid Hamidi bagaimana kekanda sering membuat muka deek dan terus berbohong ketika kabinet bermesyuarat. Mengikut Musa, inilah kekuatan kekanda-ku yang tidak pernah diketahui asal usulnya keluarganya. Malah adinda difahamkan, Musa sendiri nyaris dituduh merogol budak bawah umur jika tidak mengundur diri. Sahih kekanda-ku bijak menipu.

Memanda Kaki Kelentong,
Adinda ingin berterus terang memandangkan perhubungan kita telah lama terjalin. Adinda sedar, kekanda pernah menuduh si Yahudi George Soros sebagai penyangak mata wang. Tuduhan ini timbul kerana kekanda ingin menutup cerita bahawa kekanda sendiri pernah terbakar tangan ketika cuba menjadi peniaga mata wang pada 1992.

Kekanda bernasib baik kerana Bani Melayu bebal dan bodoh. Mereka tidak sedar bahawa 10 bilion ringgit duit Bank Negara telah hangus apabila Mahathir cuba bermain mata wang di pasaran dunia untuk melawan George Soros.

Kekanda Kaki Kelentong,
Adinda amat sedar, ketika ini kekanda dalam keadaan merungsingkan. Dari laporan media dan laporan CIA yang sampai ke tangan adinda, jelas ketika ini parti yang kekanda-ku tubuhkan itu akan mati tegak.

Ingin adinda bocorkan satu berita kepada kekanda-ku. Minggu lalu dalam satu soiree di New York secara tidak sengaja, adinda terserempak dengan David Petraeus. Sekarang ini, si David ini telah menjadi Pengarah CIA. Adinda cukup kenal dengan keluarga budak ini. Ayah budak ini datang dari Belanda, satu kapal dengan adinda dahulu ketika kami mendarat di New York. Tetapi keluarga Petraeus ini bukan dari keluarga Yahudi seperti keluarga adinda.

Mengikut labon si Petraeus, ejen-ejen CIA banyak masuk ke Malaysia. Ada yang menyamar sebagai guru, ada yang menyamar sebagai ahli perniagaan, ada yang menyamar sebagai agamawan – semua datang untuk mengumpul maklumat. Apabila mendengar labon si Petraeus ini, adinda hanya tersenyum.

Adinda sedar, CIA juga menabur dana kepada pelbagai NGO di Malaysia melalui National Endowment for Democracy (NED) dan International Republican Institute ( IRI). Tetapi dua-dua agensi ini hanya ‘mengabihkan boreh’ berbanding dengan laporan yang diterima oleh George Soros.

Biar adinda berterus terang kepada kekanda bahawa CIA juga terpaksa datang berkali-kali ke pejabat George Soros untuk meminta laporan NGO ini. Ejen CIA perlu membuat perbandingan dan meneliti laporan NGO yang diterima oleh pejabat George Soros.

Laporan terkini dari NGO Malaysia yang mendapat dana dari George Soros menunjukkan, jika pilihan raya diadakan secara telus dan adil, maka United Malays National Organisation Baru akan kalah teruk. Dari laporan CIA juga, adinda difahamkan bahawa parti United Malays National Organisation sedang merancang untuk menipu pada pilihan raya yang akan datang.

Wahai Mahathir Muhamad,
Sedarlah bahawa CIA dan George Soros tahu rancangan penipuan yang sedang diatur. CIA tahu semua rancangan ini untuk memastikan parti kekanda terus berkuasa. Sedarlah bahawa CIA dan George Soros juga sedang merancang untuk memastikan pilihan raya yang akan datang ini bersih dan adil. Jika parti kekanda menang dengan cara penipuan, maka kakanda akan lihat sendiri akibatnya. Ini bukan amaran. Ini satu janji dari seorang Yahudi.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment